Apakah definisi Orang Kurang Upaya seperti yang disebut di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Mengikut seksyen 2 Akta Orang Kurang Upaya 2008, maksud Orang Kurang Upaya  termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan yang mana ianya boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Apakah Objektif penggubalan Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Objektif Akta Orang Kurang Upaya 2008 ini adalah  untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan orang kurang upaya, penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Apakah pendaftaran Orang Kurang Upaya diwajibkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Pendaftaran adalah tidak diwajibkan di bawah Akta namun pendaftaran adalah perlu sebelum pengeluaran Kad OKU seperti yang dinyatakan di bawah seksyen 25 Akta Orang Kurang Upaya 2008 dibuat.

Apakah kepentingan untuk Orang Kurang Upaya mendaftar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Pendaftaran Orang Kurang Upaya  adalah penting untuk membolehkan pihak berwajib mengetahui bilangan, taburan dan kategori Orang Kurang Upaya di dalam negara bagi maksud untuk merancang program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta Latihan kepada golongan tersebut. Pendaftaran juga adalah penting untuk  penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan Orang Kurang Upaya.

Bilakah sesuatu pendaftaran Orang Kurang Upaya itu boleh terhenti atau terbatal?

Pendaftaran Orang Kurang Upaya boleh  terbatal apabila pemegang Kad Orang Kurang Upaya  telah meninggal dunia atau telah pulih dan tidak lagi mengganggu kefungsian mereka.

Apakah fungsi dan peranan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Antara fungsi utama Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya adalah untuk menyelia pelaksanaan dasar dan pelan tindakan negara berkaitan Orang Kurang Upaya, untuk membuat syor kepada Kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan Orang Kurang Upaya seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan Orang Kurang Upaya. Majlis juga berfungsi untuk memantau aktiviti semua kementerian, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan Orang Kurang Upaya.  Selain itu, Majlis juga berperanan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh Orang Kurang Upaya dalam masyarakat.

Apakah tanggungjawab pihak Kerajaan terhadap Orang Kurang Upaya seperti yang telah diperuntukkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Di bawah seksyen 14 Akta Orang Kurang Upaya 2008, pihak Kerajaan hendaklah bagi menjayakan dasarnya yang berhubungan dengan orang kurang upaya dan hendaklah ditunaikan dengan mengambil kira sumber manusia, kewangan dalam mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis lain yang berkaitan.

Apakah tanggungjawab Kementerian yang berkaitan dalam memenuhi aspirasi memperkasakan Orang Kurang Upaya di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Tanggungjawab Kementerian yang berkaitan seperti yang telah dinyatakan di bawah seksyen 15 Akta Orang Kurang Upaya 2008 adalah untuk bekerjasama dengan Majlis Orang Kurang Upaya dalam pelaksanaan fungsi Majlis di bawah Akta. Selain itu Kementerian berkaitan juga perlu untuk memberi pertimbangan wajar kepada dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan orang kurang upaya; serta untuk mengambil langkah atau menjalankan tindakan yang dikehendaki supaya diambil olehnya mengikut apa-apa bentuk atau cara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain atau selainnya yang berhubungan dengan orang kurang upaya.

Apakah tanggungjawab sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memenuhi aspirasi memperkasakan Orang Kurang Upaya di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Tanggungjawab sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan seperti yang telah dinyatakan di bawah seksyen 16 Akta Orang Kurang Upaya 2008 adalah untuk bekerjasama dengan Majlis Orang Kurang Upaya dalam pelaksanaan fungsi Majlis Orang Kurang Upaya di bawah Akta. Selain itu sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan juga perlu untuk memberi pertimbangan wajar kepada dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan orang kurang upaya; serta untuk mengambil langkah atau menjalankan tindakan yang dikehendaki supaya diambil olehnya mengikut apa-apa bentuk atau cara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain atau selainnya yang berhubungan dengan orang kurang upaya.

Apakah hak-hak Orang Kurang Upaya yang diperuntukkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Di bawah Bahagian IV Akta Orang Kurang Upaya 2008, hak-hak yang diperuntukkan adalah antara lain, seperti hak untuk akses kepada dan menggunakan kemudahan, ameniti, perkhidmatan  dan bangunan awam, akses dan menggunakan kemudahan, ameniti dan perkhidmatan pengangkutan awam,  akses pendidikan,  pekerjaan,  hak kepada maklumat, komunikasi dan teknologi atas asas kesetaraan dengan orang upaya dan akses kepada aktiviti rekreasi serta akses kepada kehidupan berbudaya.

Adakah juga da diperuntukkan hak untuk kesihatan bagi Orang Kurang Upaya di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Di bawah seksyen 35 Akta Orang Kurang Upaya 2008, dinyatakan dengan jelas bahawa Orang Kurang Upaya hendaklah mempunyai hak untuk menikmati kesihatan atas asas kesetaraan dengan orang upaya  dan bagi tujuan ini Majlis Orang Kurang Upaya, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah mengambil langkah yang sesuai untuk memastikan orang kurang upaya mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, termasuk rehabilitasi berkaitan kesihatan, yang peka gender.

Apakah perlindungan sepanjang hayat dan sIstem sokongan sosial untuk Orang Kurang Upaya ada diperuntukkan juga di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008?

Seperti yang disebut di bawah seksyen 38(1) Akta Orang Kurang Upaya 2008, pihak Kerajaan perlu menyediakan perlindungan sepanjang hayat dan sistem sokongan sosial yang perlu termasuk memastikan bahawa kebajikan orang dengan ketidakupayaan teruk tetap tidak terjejas selepas kematian ibu atau bapanya atau pemberi jagaannya bagi membolehkan orang dengan ketidakupayaan teruk itu menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

Apakah yang dimaksudkan dengan “orang dengan ketidakupayaan teruk”?

Di bawah seksyen 39 Akta Orang Kurang Upaya 2008, “orang dengan ketidakupayaan teruk”

ertinya adalah  seseorang yang mengalami satu atau lebih ketidakupayaan yang bergantung pada orang lain bagi aktiviti kehidupan harian yang asas.

Apakah jika ada kegagalan di pihak berwajib dalam mnyediakan kemudahan kepada Orang Kurang Upaya seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008, pihak-pihak ini diberikan perlindungan daripada sebarang tindakan mahkamah di bawah akta?

Ya, perlindungan ada diberikan di bawak seksyen 41 Akta Orang Kurang Upaya 2008. Di bawah seksyen ini disebut bahawa tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap Kerajaan; Menteri; Majlis Orang Kurang Upaya; mana-mana anggota Majlis atau mana-mana anggota jawatankuasa; atau mana-mana orang lain yang bertindak dengan sah bagi pihak Majlis, berkenaan dengan apa-apa perbuatan, keabaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya dengan suci hati atau apa-apa peninggalan yang ditinggalkan olehnya dengan suci hati. Di samping itu, perlindungan juga diberikan di bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.