Artikel

Inisiatif khas dilaksana bantu belia OKU

Oleh Prof Madya Dr Ahmad Shamsuri Muhamad dan Dr Rafidah Aga Mohd Jaladin – Ogos 20, 2021 @ 11:02am bhrencana@bh.com.my

GOLONGAN belia orang kurang upaya (OKU) tidak terkecuali menerima kesan krisis COVID-19, sekali gus menjadikan kumpulan rentan ini semakin terpinggir. 

Sebelum pandemik, mereka berhadapan pelbagai halangan menyekat penyertaan penuh dan berkesan dalam masyarakat. Krisis kesihatan COVID-19 semakin mengecilkan ruang dan peluang belia OKU menikmati hak mereka.

Hakikatnya, hak OKU dalam akses kepada pendidikan, pekerjaan, pengangkutan, kemudahan awam dan sosial dijamin dalam Akta OKU 2008 (Akta 685), malah diperkukuhkan lagi dengan komitmen Malaysia melalui Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berkenaan Hak OKU.

Namun, halangan sikap, persekitaran, maklumat dan polisi sedikit sebanyak menafikan hak untuk mengakses keperluan asas yang diperuntukkan. Ketidaksamaan akses kehidupan bermasyarakat menjadikan belia OKU dikategorikan sebagai belia minoriti dan terpinggir, seperti terkandung dalam Dasar Belia Malaysia (DBM).

Banyak inisiatif diambil sama ada kerajaan, swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya di Universiti Awam, Dasar 1 Peratus Pekerja OKU di Sektor Awam, Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU dan penubuhan pusat kehidupan berdikari.

Pihak swasta turut menawarkan peluang pekerjaan dan biasiswa pendidikan kepada belia OKU yang turut dibantu NGO menawarkan program latihan kemahiran dan khidmat sokongan kepada belia dan ahli keluarga OKU.

Namun, pandemik COVID-19 mengganggu-gugat hampir keseluruhan rangka kerja pelaksanaan inisiatif itu. Situasi pandemik berlanjutan meletakkan kehidupan belia OKU dalam keadaan sukar. 

Belia OKU penglihatan yang bekerja sebagai tukang urut contohnya, hilang mata pencarian kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menyenaraikan pusat urut sebagai sektor perlu.

Belia OKU pendengaran yang tinggal di rumah tidak dapat mengakses maklumat COVID-19 di media massa kerana tidak semuanya menyediakan jurubahasa isyarat, manakala belia OKU autisme menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana khidmat sokongan psikologi terhad.

Ini menyebabkan belia OKU semakin terdedah kepada isu kesihatan mental seperti tekanan, kerisauan melampau dan kemurungan, malah diburukkan lagi dengan kurangnya profesional berkepakaran mengendalikan isu kesihatan mental serta modul komprehensif menangani isu berkenaan.

Justeru, pasukan penyelidik Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) menyumbang kepakaran menjalankan pemerkasaan kesejahteraan psikologi dan persediaan kerjaya untuk belia OKU.

Projek penyelidikan dibiayai sepenuhnya geran penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Program Malaysia Research University Network (MRUN).

Hasilnya, pelbagai program dan aktiviti libat sama komuniti dengan pelatih atau belia OKU dijalankan di pusat latihan perindustrian dan pemulihan seperti Program Rehabilitasi Estim Kendiri, Ceramah Motivasi Diri dan Kelompok Sokongan Sosioemosi dan Psikososial.

Ia dilaksanakan menggunakan bahasa perantara mudah difahami, agar mesej jelas dapat disampaikan dan dipraktikkan peserta.

Program berfokus persediaan ke alam kerjaya turut diadakan dengan sasaran impak adalah merangsang prihatin masyarakat terhadap belia OKU, memupuk rasa sayang diri dan menggalakkan pemerkasaan komuniti belia OKU.

Malah, modul terapi kognitif dihasilkan untuk menangani tekanan dan kerisauan melampau dalam kalangan belia OKU.

Pembinaan modul itu berasaskan pendekatan kaunseling kelompok rehabilitasi itu bukan sahaja melatih peserta dengan kemahiran menangani tekanan dan kerisauan melampau, bahkan memperkasakan mereka untuk kehidupan berkerjaya.

Keberkesanannya dibuktikan melalui sesi intervensi bersama belia OKU di pusat latihan dan pemulihan di Selangor. Satu sesi latihan kepada pelatih/jurulatih (TOT) turut diadakan kepada pegawai psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Projek penyelidikan sebegini menjadi inisiatif bagi membantu belia OKU yang terdedah kepada isu kesihatan mental akibat cabaran dihadapi dalam kehidupan, terutama dalam tempoh pandemik.

Bagi memastikan nasib belia OKU terus terbela, golongan ini perlu menjadi sebahagian inisiatif pemulihan semasa dan pasca-pandemik COVID-19.

Belia OKU sendiri perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran menangani tekanan dan kerisauan melampau, seterusnya mampu memperkasakan diri bagi membina kehidupan lebih baik.

Khidmat sokongan psikologi profesional juga perlu untuk memastikan belia OKU dapat mengharungi keadaan pandemik mencabar dan bangkit lebih yakin untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Penulis adalah Ahli Kumpulan Penyelidik Program Malaysia Research University Network (MRUN) 2019-1D, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/08/853529/inisiatif-khas-dilaksana-bantu-belia-oku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *